PENGENALAN

PERMAINAN WARISAN LIAN

Seni Gerak Warisan Lian ini secara umumnya telah digerakkan seawal tahun 2012 lagi. Namun secara rasminya didaftarkan dibawah Pendaftar Pertubuhan Persatuan (ROS) dengan rasminya pada 21 Disember 2018 (PPM-018-04-21122018) dengan nama PERSATUAN SENI GERAK WARISAN LIAN (BARU). Seni Gerak Warisan lian ini merupakan permainan buah pukul dari susur galur PAK MAT KEDIDI. Ahli-ahli Seni Gerak Warisan Lian ini merupakan PEWARIS permainan buah pukul  dari susur galur aliran PAK MAT KEDIDI generasi baru iaitu GENERASI ke-4. Pengasas Seni Gerak Warisan Lian ini adalah EN. NORHIZAD BIN MUSTAPHA (CIKGU BOY) yang juga merupakan GURU UTAMA Seni Gerak Warisan Lian ini. Permainan warisan lian ini adalah merupakan hasil dari acuan lian padukan yang telah diasaskan oleh MUHAMAD BIN CHIK (PAK MAT KEDIDI). Permainan ini diacu sendiri oleh Pak Mat Kedidi, yang mana asal permainannya adalah BUAH PUKUL MERSING. Pak Mat Kedidi telah menambahbaik setiap pergerakan asal supaya menjadi permainan yang padat dengan pukulan serta mengikut pengedaran semasa supaya permainan ini tidak jemu untuk dilatih baik dari segi buah pukulannya. Setiap pergerakan mempunyai rahsia. Mungkin sekiranya permainan ini ada persamaan dengan permainan yang lain, ia adalah suatu kebetulan.

Apa yang membezakan permainan lian dengan seni beladiri yang lain terutama permainan dari susur galur Pak Mat Kedidi adalah dalam aliran permainan lian dari aliran Mohammad bin Chik @ Pak Mat Kedidi ini, jurus adalah pengenalan gerak yang hanya melatih kepada latihan senjata tangan dan kaki atau dikenali sebagai senjata 8. Sedangkan lian  menumpukan kepada banyak pecahan dan keutamaan diberikan kepada latihan pergerakan badan. Jurus dan lian digabungkan untuk melahirkan pergerakan yang padu dan sukar dibaca oleh pihak lawan. Sebab itu dalam permainan seni warisan lian, permainan jurus dan lian adalah kekal dan mengikut silibus. Sedangkan permaian buah tidak kekal dan berubah-berubah. Ini bertujuan utk mengelirukan pihak lawan.



PAK MAT KEDIDI

AL-FATIHAH
MOHAMED BIN CHIK @ PAK MAT KEDIDI




Mohamed bin Chik atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Kedidi mula menuntut Buah Pukul dari ayahnya sendiri. Sewaktu berusia 9 tahun, beliau ke Kelantan untuk menambahkan ilmunya. Ketika berumur 19 tahun pula, beliau berguru dengan Awang bin Idris, iaitu abang iparnya. Pada tahun 1939, sewaktu berumur 27 tahun, beliau menyertai pasukan polis dan ditugaskan di sempadan Siam. Di sana, beliau sempat berguru aliran Tomoi dengan Tok Chah, seorang guru yang masyhur di Padang. Berkat kegigihan Pak Mat Kedidi, beliau menjadi juara Tomoi di Padang dengan gelaran ‘Black Beetle’ (Kumbang Hitam). Selepas itu, beliau berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Sungai Belum, Melaka untuk berguru dengan Long Aman bin Ujang dalam aliran Sendeng Asli Muar, di mana Pak Mat Kedidi turut mendalami seni Tekpi. Pak Mat Kedidi yang turut menuntut Buah Pukul dari Cu Aman akhirnya menerima ‘Nukil’ (Catatan Salasilah Perguruan) daripada gurunya itu pada tahun 1961 di samping disuruh berguru dengan Kadi daerah Mersing ketika itu iaitu Sani Abu Samah. Pada 1972, sebelum bersara, beliau bersahabat dengan Pak Manas, guru silat Sunting Johor dan berjumpa dengan abang sepupunya, Haji Ahmad Awang, mufti kerajaan negeri Johor ketika itu. Setelah bersara, Pak Mat Kedidi mengembangkan seni ini yang menggabungkan Sendeng, Sunting, Buah Pukul Mersing dan Tomoi di dalam satu permainan yang kukuh dan mengekalkan identiti dan konsep asas buah pukul iaitu, "Hendak Mengena, Tak Nak Kena"

SUMBER: http://anaspehhh.blogspot.com/

PERMAINAN BUAH PUKUL

Permainan buah pukul merupakan teknik atau kaedah khas yang ringkas dan unik yang digunakan untuk mempertahankan diri dari serangan pihak lawan atau musuh samaada dengan senjata atau tidak. Maksud perkataan 'buah' sepertimana tafsir kamus dewan bahasa dan pustaka memberi maksud mendatangkan atau menghasilkan sesuatu atau juga apa-apa jua difikirkan oleh seseotrang atau pendapat. Manakala maksud 'pukulan' pula memberi erti hasil perbuatan memukul atau serangan yang dibuat terhadap sesuatu pihak dan juga bermaksud perbuatan, tindakan, serangan dan sebagainya yang boleh membawa maut. Kepelbagaian variasi permainan buah pukul telah melahirkan pelbagai aliran permainan yang dapat memeriahkan lagi dunia seni beladiri di dalam tanahair ini.

Kemunculan pelbagai aliran perguruan buah pukul sudah pasti dapat memeriahkan lagi dunia beladiri serta memperkayakan lagi budaya seni orang melayu selain merapatkan silaturrahim antara pengamal beladiri. Kepelbagaian olahan permainan disesuaikan dengan keupayaan fizikal dan kebiasaan pengamal beladiri itu sendiri. Sejarah membuktikan kepelbagaian adunan teknik dan kefahaman guru-guru terdahulu dalam menguasai ilmu buah pukul dapat menghasilkan pelbagai gabungan yang mantap dan efektif. Bagaimanapun, penggunaan serta keperluannya telah dihadkan atau dirahsiakan daripada umum bersesuaian dengan peredaran zaman supaya tidak disalahguna.

Secara umum, permainan buah pukul menerapkan latihan yang keras dan kasar tetapi terkandung intisari halus dan berseni serta memiliki rahsia tersendiri bersesuaian dengan kehendak perguruan masing-masing. Dalam permainan buah pukul, pengamal seni beladiri akan diajar kaedah serangan, tindakbalas dan sikap bertahan secara khusus sebagai ilmu mempertahankan diri. Walaupun cara dan gaya tidaklah seindah seni silat namun ianya masih lagi mempunyai kecantikannya yang tersendiri dalam kategorinya. Keutamaanya ialah keberkesanan serta kemampuan bertindak dengan menggunakan tenaga yang paling minimum mengikut disiplin yang ditetapkan tanpa terikat secara total dengan gerakan-gerakan yang dipelajari sebelum ini serta mampu menterjemahkan hasil dengan kemas dan berkualiti.

Pengamal permainan buah pukul akan diajar pergerakan jurus dan lian tertentu bagi meningkatkan stamina, membina keupayaan maksimum tubuh badan serta membina "muscle memory" supaya lebih kejap agar menjadi ingatan yang padu sehingga ke hari mendatang. Kemasukan unsur agama tidak boleh ditinggalkan, oleh itu buah pukul yang berasaskan kerohanian Islam bukan sahaja memohon kemenangan semata-mata, malah memohon keredhaan dan keampunan daripada-Nya jua. Andai tewas, itu tidak bererti Islam jua tewas. Hakikat sebenarnya ialah pengalaman itu mengingat dan mengajar kita supaya menerimanya dengan redha dan berusaha dengan lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, setiap perguruan buah pukul wajib dibekalkan ilmu kerohanian Islam untuk kebajikan semua dan menolak segala yang syirik agar mendapat keredhaan dan manfaat daripadanya.